Rabu, 12 Disember 2012

Tiga Rahsia Meningkatkan Keyakinan Diri Semasa Berucap atau Membuat Persembahan.

Rahsia Pertama.

Orang lain tidak tahu yang kita tidak yakin. "Hmm... apa maksudnya. Begini, apabila anda rasa tidak yakin dengan diri anda terutama semasa berucap di khalayak ramai, orang lain tidak tahu yang anda sedang tidak yakin. Mereka lihat anda seperti biasa sahaja.
Mengapa anda perlu tahu perkara ini? Jika anda rasa orang tahu atau nampak yang anda tidak yakin.... rasa berdebar, gugup dan gementar akan menjadi-jadi. Maka, berlagaklah seperti biasa sahaja dan tunjukkan kita yakin.

Rahsia Kedua.

Keyakinan diri boleh dilatih dan dipupuk. Keyakinan diri adalah sama seperti kemahiran lain yang boleh kita kuasai. Jika kita mahu pandai tunggang basikal, kita mesti berlatih dan terus mencuba kan? Begitulah juga dengan keyakinan diri. Semakin kita berlatih untuk meningkatkan keyakinan diri, semakin tinggi tahap keyakinan kita. Caranya, jerit kuat-kuat dalam hati, "Aku pun ada keyakinan diri yang tinggi jugakkkkkk" !!!
Berlatihlah di hadapan cermin, bersama kawan-kawan dan keluarga.

Rahsia Ketiga.

Kita perlu suka dan cintakan diri sendiri. Rasa rendah diri selalu datang daripada orang yang rasa dirinya tidak bijak, tidak berkebolehan dan tidak istimewa. Apabila berdiri di khalayak ramai, mereka rasa diri mereka tidak hebat berbanding dengan orang-orang yang berada di depan mereka lalu mereka rasa kurang yakin. Maka, jika kita suka dan cintakan diri sendiri, kita akan mula memandang pada kekuatan dan kehebatan dalam diri kita sendiri. Apabila kita sudah mulai menghargai kekuatan dan kehebatan dalam diri dengan cara suka dan cinta kepada diri sendiri, kekuatan dan kehebatan itu akan menyerlah, maka timbullah keyakinan diri.

Cubalah murid-murid rahsia ini agar persembahan anda lebih mantap.

Isnin, 10 Disember 2012

Cara Mencipta Pantun

Cara Mencipta Pantun Empat Kerat.

Dalam satu rangkap pantun empat kerat ada dua baris pembayang dan dua baris maksud :

Baris pertama      :     Pembayang
Baris kedua         :     pembayang
Baris ketiga         :     maksud
Baris keempat     :     maksud

Langkah pertama ialah dengan menulis maksudnya dahulu iaitu baris ketiga dan keempat.

Baris pertama  :  _____________________kan,
Baris kedua     :  __________________ ______ta,
Baris ketiga     :  Tahniah kawan kami ucapkan,
Baris keempat :  Menang pertandingan reka cipta.

Baris ketiga dan keempat adalah isi cerita yang hendak disampaikan. Setelah dipastikan dua baris maksud ini sempurna, barulah kita memilih kata-kata sebagai pembayang iaitu baris pertama dan kedua. Kita perhatikan bunyi suku kata terakhir bagi baris pertama dan ketiga adalah sama. Manakala baris kedua sama dengan baris keempat.

Sekarang mari kita lengkapkan pantun di atas.
 
Masak cendawan bersama lokan,
   Dimakan dengan roti pita,
Tahniah kawan kami ucapkan,
   Menang pertandingan reka cipta.
 

Ujilah diri anda untuk membina pantun di bawah.
 
Mari kita lengkapkan pantun di bawah.
 
Belimbing besi sedap sekali,
     Tepi parit di Tanjung Sari,
Ditambah pula dengan halia,
     Sungguh tinggi pohon sena,
Jual di kota tepi muara,
     Herba bermutu dibuat jamu,
 
 
_________________________,
_________________________,
Sains teknologi sangat berguna,
Didik manusia jadi bestari.
 
 
 
_________________________,
_________________________,
Cipta sesuatu tanpa jemu,
Untuk kemudahan hidup manusia.
 

 
_________________________,
__________________________,
Kreatif dan inovatif penting sekali,
Barangan dicipta untuk negara.